Warning: Cannot modify header information - headers already sent by (output started at /srv/users/khm/apps/fakulti/public/index.php(7) : eval()'d code:12) in /srv/users/khm/apps/fakulti/public/wp-content/plugins/post-views-counter/includes/counter.php on line 294
"Vaksin" Tahukah Kalian Bagaimana Cara Di hasilkan dan Kandungan Di Dalamnya?

“Vaksin” Tahukah Kalian Bagaimana Cara Di hasilkan dan Kandungan Di Dalamnya?

Sebelum kita mendalami bagaimana cara penghasilan vaksin dan kandungan yang terdapat di dalamnya. Ada baiknya kita memahami dahulu apakah yang di maksudkan dengan vaksin ini. Apakah ianya selamat digunakan?

Vaksin adalah sejenis bahan yang dapat membantu mencegah sesuatu penyakit. Sebagai perumpamaan, badan manusia dilindungi oleh sistem pertahanan/sistem imun sebagaimana suatu negara dilindungi oleh angkatan tentera. Vaksin umpama bahan latihan untuk angkatan tentera badan kita, ia akan digunakan untuk mengenali dan menewaskan musuh, iaitu bakteria atau virus yang mungkin boleh menjangkiti badan dan menyebabkan penyakit pada masa hadapan. Pemberian vaksin secara berleluasa sejak beberapa dekad lalu telah mampu mengurangkan pelbagai jenis penyakit yang dahulunya datuk nenek kita pernah alami, seperti cacar (smallpox), polio dan sebagainya.

Bagaimana Vaksin Dihasilkan?

Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). Perkara asas yang perlu dipatuhi termasuk:

  1. Memastikan produk adalah selamat untuk kegunaan masyarakat; dan
  2. Memastikan identiti, kekuatan, kualiti dan keaslian produk sentiasa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan

Penghasilan vaksin dijalankan di dalam persekitaran bebas kuman (aseptik) dan dipantau secara rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti. Proses penghasilan boleh berbeza mengikut jenis vaksin kerana beberapa komponen yang digunakan dalam proses penghasilan adalah khusus kepada jenis vaksin sama ada berunsurkan virus atau bakteria.


Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:

  1. Pembiakan: Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.
  2. Pengasingan: Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.
  3. Penulenan: Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.
  4. Formulasi: Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan.

Apakah Kandungan Vaksin?

Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin.


Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan. Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal atau thimerosal. la mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri. Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya.

Sumber:

  1. http://www.myhealth.gov.my/imunisasi-fakta-dan-kemusykilan/
  2. Al-Bayan siri 7: Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram