Sejarah Solat Lima Waktu

Ibadah solat adalah satu ibadat yang sangat penting buat umat Islam. Nabi Muhammad SAW telah dijemput untuk menghadap Allah SWT ketika peristiwa Israk dan Mikraj untuk menerima kewajipan solat secara langsung daripada Yang Maha Esa.

Merujuk kepada peristiwa Mikraj ke syurga, Baginda Rasulullah SAW dan malaikat Jibril a.s. telah memasuki syurga pertama dan meneruskan perjalanan naik ke tujuh tingkat sehingga mereka sampai ke arasy (takhta) Allah SWT. Sepanjang perjalanan mereka bertemu dengan para nabi Adam a.s., Yaḥya a.s., Isa a.s., Yusuf a.s., Idris a.s., Harun a.s., Musa a.s. dan Ibrahim a.s. Baginda turut mengunjungi neraka dan syurga.

Rasulullah SAW telah diperintah Allah SWT agar difardukan solat sebanyak lima puluh solat, pada mulanya. Namun, Nabi Muhammad SAW telah berulang alik beberapa kali ke takhta Allah untuk meminta pengurangan jumlahnya, setelah beberapa kali dinasihati oleh Nabi Musa a.s. yang mengatakan jumlah awal tersebut akan menyukarkan umat Baginda kelak. Lalu setiap kali Baginda kembali berjumpa Allah, jumlah solat dikurangkan sebanyak lima, dan akhirnya tinggal lima waktu solat. Ini tidak dikurangi lagi kerana perasaan malu Baginda kepada Allah.

Dari segi sejarah solat itu sendiri, berikut adalah ringkasan peristiwa solat lima waktu yang telah dilakukan oleh para Rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad SAW:

Solat Subuh: Nabi Adam a.s. adalah manusia pertama yang telah menunaikan solat Subuh setelah diturunkan ke bumi dari syurga Allah SWT. Baginda berasa ketakutan akibat melihat kegelapan. Apabila fajar subuh telah keluar, Baginda telah solat dua rakaat.

Solat Zohor: Nabi Ibrahim a.s. adalah manusia pertama yang mendirikan solat Zohor. Ketika itu Baginda diperintahkan untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. Akhirnya, Ismail telah digantikan Allah SWT dengan seekor kibas (sejenis kambing).  Seruan itu datang ketika waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Solat Asar: Nabi Yunus a.s. adalah manusia pertama yang menunaikan solat Asar. Ketika ikan Nun memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, waktu Asar sudah tiba. Maka bersyukurlah Nabi Yunus dan Baginda solat empat rakaat kerana telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada empat kegelapan.

Solat Maghrib: Nabi Isa a.s. adalah manusia pertama yang menunaikan solat Maghrib. Baginda bersyukur kerana Allah SWT telah mengeluarkan Baginda daripada kejahilan kaumnya sendiri. Ketika kejadian itu, matahari telah terbenam dan Nabi Isa menunaikan solat tiga rakaat sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Solat Isyak: Nabi Musa a.s. adalah manusia pertama yang solat Isyak.  Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan dan Baginda berasa resah kerana dalam kesusahan. Allah SWT telah menghilangkan perasaan tersebut daripada Nabi Musa. Ketika itu sudah masuknya waktu Isyak, lalu Nabi Musa solat empat rakaat sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Solat adalah tiang agama. Marilah kita menjaga solat dan cuba solat di awal waktu yang telah ditetapkan jangka masanya. Semoga kita terdiri daripada orang-orang yang bertakwa di sisi Allah SWT.

Kredit: today.salamweb.com

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram