Sejarah Peristiwa Penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran)

Allah SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca Al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat.

Maka peristiwa Nuzul Al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi SAW khasnya. Ayat Al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir, pasti dan qat’i serta ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf ‘Uthmani. Adalah wajar bagi umat Islam mengkaji sejarah Al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya.

Apakah maksud Nuzul Al-Quran?

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa penurunan ayat pertama Al-Quran daripada Allah kepada Rasulullah SAW dan berterusan secara berperingkat selama 23 tahun hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad berusia 41 tahun iaitu pada malam Jumaat 17 Ramadhan, bersamaan dengan tarikh 6 Ogos 610M, sewaktu Baginda sedang beribadat di dalam Gua Hira.

Dari segi bahasa, perkataan “Nuzul” bermaksud turun, atau menetap di suatu tempat. Dari segi Istilah pula, “Nuzul” bermaksud penurunan Al-Quran kepada Nabi Muhammad dengan cara-cara tertentu. Peristiwa Nuzul Al-Quran, atau Penurunan Al-Quran merupakan peristiwa yang penting dalam sejarah Islam. Hal ini kerana ini menandakan bahawa bermulanya tugas Nabi Muhammad sebagai rahmat kepada seluruh alam, sebagai penyampai wahyu daripada Allah, iaitu Rasul Akhir Zaman.

Bilakah Peristiwa Penurunan Al-Quran berlaku?

Terdapat dua pendapat yang menyatakan Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum Hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan ianya berlaku pada 24 Ramadhan malam Isnin (13 Ogos 610 M). Namun, kelaziman terletak pada pendapat pertama iaitu pada 17 Ramadhan, seperti yang disambut di Malaysia ini. Pada ketika ini, Nabi Muhammad yang berusia kira-kira 40 tahun mengasingkan diri daripada perbuatan jahiliyah masyarakah Jahiliyah Mekah dengan beribadah di Gua Hira’ dan akhirnya didatangi Malaikat Jibrail a.s dengan membawa wahyu pertama, menandakan kerasulan baginda, pembawa rahmat kepada alam, penyampai wahyu kepada umat baginda.

Sesungguhnya, al-Quran itu suatu mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW bukan hanya kepada baginda tetapi untuk seluruh umat manusia sehingga hari kiamat. Sebab, di dalamnya (al-Quran) terhimpun semua perkara termasuk tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan 1001 perkara lagi. Oleh itu, al-Quran adalah al-hidayah, rahmat, as-syifa’ (penawar), nur (cahaya), al-furqan (yang dapat membezakan) antara haq dan batil, al-zikr dan pemberi penjelasan kepada manusia di dunia ini.

Ayat pertama Dan Ayat Terakhir

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW, ayat al-Quran pertama yang diturunkan oleh Allah SWT melalui utusan malaikat Jibrail adalah lima ayat daripada surah al-‘Alaq dengan maksudnya;

“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan Nama Tuhan-mu, yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah Dengan Nama Tuhan-mu, Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”, (al-‘Alaq: 1-5).

Apa yang jelas, pengajaran isi al-Quran ini telah mengangkat Islam sebagai sebuah agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi sebagai panduan untuk kehidupan manusia seluruhnya. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.

Cara -Cara Al-Quran Diturunkan.

Isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aishah, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.

Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW, pernah bertanya kepada Baginda bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab, ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-Ku dengan gema (desingan) loceng Dan ini amat berat bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-Ku merupai lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku menerima apa saja yang disampaikannya kepada-Ku.”

Nabi Muhammad SAW mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu. Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:

1. Menerusi mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dalam kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan: “Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang telah ditetapkan oleh Allah“. ( As-Syura: 51)

2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar mengenai kata-kata itu.

3. Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim yang sangat dingin. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat.

Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: ” Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa”.

4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW. dalam rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha”

5. Malaikat mewahyukan kepada Nabi SAW dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak berpendapat baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para ulamak.

Kredit: Facebook Majlis Daerah Pasir Puteh, mykmu.net, harakahdaily.net

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram