Warning: Cannot modify header information - headers already sent by (output started at /srv/users/khm/apps/fakulti/public/index.php(7) : eval()'d code:12) in /srv/users/khm/apps/fakulti/public/wp-content/plugins/post-views-counter/includes/counter.php on line 294
Makan Lepas Mandi Menyebabkan Perut Buncit, Mitos atau Fakta?

Makan Lepas Mandi Menyebabkan Perut Buncit, Mitos atau Fakta?

Kalau sebut mengenai perut buncit, pasti ramai individu, sama ada lelaki atau wanita mahu mengelakkannya. Maka wujudlah pelbagai jenis mitos dan kepercayaan berkaitan kesihatan perut ini.

5 mitos berkaitan perut buncit.

Diet pemakanan yang seimbang merupakan antara faktor penting dalam penjagaan kesihatan. Ia dapat membantu anda untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.

Walau bagaimanapun, dikatakan terdapat beberapa perkara tertentu berkaitan pemakanan yang boleh mengakibatkan anda mengalami perut buncit, adakah perkara ini betul?

Berikut adalah 5 mitos popular yang mengaitkan masalah perut buncit:

1. Tidur selepas makan.

Kebanyakan individu takut untuk tidur selepas makan kerana bimbang akan kenaikan berat badan atau kegemukan. Namun, sebenarnya tabiat tidur boleh mengundang masalah lain berkaitan kesihatan.

Menurut Jurulatih Bertauliah dan Pakar Pemakanan Peribadi, Kevin Zahri, kenaikan berat boleh berlaku akibat makan selepas tidur adalah tidak tepat. Ini kerana proses kenaikan atau penurunan berat badan tidak bergantung kepada jarak anda makan dan tidur.

Sebaliknya anda boleh menjadi gemuk bergantung kepada kadar pengambilan kalori sepanjang hari. Jika kalori masuk adalah lebih tinggi berbanding kalori yang keluar, maka kecenderungan untuk berat badan meningkat adalah tinggi.

Umumnya, tidur selepas makan dalam keadaan perut kenyang boleh menyebabkan masalah seperti pedih ulu hati dan peningkatan risiko strok. Pakar mencadangkan 2 jam selepas makan adalah tempoh terbaik untuk tidur.

2. Makan bersulam air.

Pernah tidak anda dimarahi kerana makan bersulam dengan minum? Kononnya boleh menyebabkan perut menjadi buncit. Tetapi kalau makanan itu pedas, bagaimana pula?

Mungkin ada benarnya perut akan menjadi buncit, tetapi untuk tempoh sementara sahaja. Ini kerana menurut Kevin, lebih banyak isipadu air yang diminum, maka akan lebih buncit perut anda.

Tetapi isipadu air itu akan dicerna dan diserap oleh badan dalam proses pencernaan makanan. Keadaan ini sekali gus akan menghilangkan masalah buncit yang dialami.

3. Mandi selepas makan,

1 mitos paling popular berkaitan makan adalah dilarang mandi selepas mengambil sesuatu hidangan makanan berat, kononnya boleh mengakibatkan perut buncit. Ini kerana proses pencernaan makanan akan terganggu akibat penurunan suhu badan semasa mandi, adakah ini betul?

Mengarut sangat! Ia adalah mitos semata-mata. Tidak terdapat langsung hubungan atau kaitan antara mandi sama ada air sejuk atau air panas, selepas makan dengan perut buncit. Jadi selepas ini, jangan guna alasan ini untuk mengelakkan mandi, okay?

4. Tabiat merokok.

Ada sesetengah perokok mengelak daripada merokok kononnya sebab tidak mahu menjadi buncit. Tetapi adakah kepercayaan itu sahih?

Umumnya, merokok sememangnya berbahaya untuk kesihatan. Namun, secara faktanya tabiat merokok sejurus selepas makan adalah sama seperti merokok 10 batang rokok. Jadi, ia tidak menyebabkan perut menjadi buncit, tetapi akan meningkatkan risiko masalah penyakit lain. Berhenti merokok adalah 1 pilihan terbaik untuk kesihatan anda.

5. Kena bersenam selepas makan.

Selepas makan perlu terus bersenam kalau tidak mahu mengalami masalah buncit. Seriously? Anda baru lepas makan dan kekenyangan, kemudian kena pula bersenam seperti berlari atau turun naik tangga untuk mengelakkan buncit?

Kenapa mahu menyeksa diri? Bersenam dalam keadaan perut yang kenyang dan penuh dengan makanan hanya akan menyebabkan masalah ketidakselesaan pada perut. Anda berisiko untuk mengalami loya serta masalah kesihatan lain yang berbahaya.

Jadi kalau anda masih ingin bersenam selepas makan, kerana takut gemuk atau buncit, sebaiknya lakukan senaman ringan seperti berjalan perlahan-lahan. Atau lebih baik, lakukan sebarang aktiviti fizikal 4 jam selepas makan.

Masalah perut buncit dan kesihatan

Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan perut menjadi buncit. Berikut disenaraikan 3 punca lazim perut membuncit:

  • Angin atau gas

Merupakan faktor penyebab utama perut menjadi buncit. Keadaan itu berlaku kerana terdapat angin yang terhasil dalam saluran pencernaan apabila makanan tidak dapat dicernakan dengan sempurna.

Perkara ini selalu berlaku dalam kalangan individu yang mengalami masalah lactose intolerance atau tidak tahan dengan laktosa serta penyakit Coeliac iaitu alahan pada gluten.

Walau bagaimanapun, gejala itu hanyalah bersifat sementara sahaja dan berlaku apabila wujudnya makanan sebagai pencetus simptom.

  • Hormon

Perubahan hormon seperti mengalami menopaus, akan membuatkan penghasilan hormon seks estrogen berkurangan. Keadaan ini akan menyebabkan pengumpulan lemak pada bahagian perut.

Masalah lemak yang tidak sekata boleh mengakibatkan perut menjadi buncit. Selain itu perubahan hormon ketika kedatangan haid juga boleh menyebabkan masalah buncit serta penghadaman.

  • Gemuk

Sudah tentu perut yang buncit berlaku disebabkan masalah berat badan yang semakin meningkat. Pengambilan makanan yang berlemak dengan kandungan karbohidrat berlebihan boleh menyebabkan masalah obesiti serta peningkatan risiko penyakit kronik, seperti masalah berkaitan kesihatan jantung.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fakultitv@gmail.com 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram