“Macau Scam” Bagaimana mereka menipu?

Lebih 400 juta duit rakyat Malaysia rugi hasil daripada penipuan Macau Scam dalam tempoh 3 tahun ini. Jumlah tersebut adalah melibatkan 6552 kes sejak 2018 sehingga September 2020. Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjadi negeri yang mencatatkan kes kerugian tertinggi dalam tempoh 3 tahun.

Orang kampung, pekerja swasta, penjawat awam, pesara kerajaan dan golongan professional semuanya sudah menjadi mangsa sindiket ini.

Bagaimana Macau Scam ini menipu orang ramai?

Macau scam ini adalah sindiket telekomunikasi yang memperdaya mangsa dengan panggilan palsu dan ada ketikanya boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami kerugian sehingga berjuta ringgit. Macau Scam dilaporkan didalangi sindiket daripada Taiwan serta China yang menggunakan talian antarabangsa seperti Hong Kong. Jika di Malaysia, mereka menggunakan ejen tempatan dalam menguruskan pelaburan termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan mereka.

Ada juga dikalangan mereka menggunakan selebriti dalam memberikan modal untuk menjalankan perniagaan. Mereka ini bukan sahaja rapat dengan golongan selebriti, malah mereka ini tanpa segan silu sering mempamerkan kehidupan mewah di media sosial sebelum ini.

Sehingga kini SPRM membekukan 750 akaun dengan simpanan kira-kira RM75 juta hasil aktiviti pengubahan wang haram termasuk membabitkan selebriti. Agensi ini juga turut menyita 24 kenderaan mewah milik beberapa individu yang ditahan.

Mereka akan memberikan modal kepada usahawan Malaysia untuk memulakan perniagaan atas niat untuk memperbersihkan wang hasil penipuan.

Terdapat beberapa cara atau modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini. Antaranya ialah:

1) Cabutan bertuah.

Pengadu akan menerima panggilan telefon yang mendakwa mangsa telah memenangi cabutan bertuah bernilai jutaan dolar daripada syarikat Hong Kong dan Macau. Pemanggil kemudian memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya pengadu mahu menuntut hadiah berkenaan. Setelah bersetuju,pengadu dikehendaki membayar cukai dan insurans dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah tersebut. Setelah transaksi selesai, pemanggil gagal dihubungi dan hadiah yang dijanjikan tidak diterima.

2) Penipuan sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan.

Pengadu menerima panggilan telefon yang mengaku individu sebagai pegawai mahkamah dan polis serta mendakwa bahawa pengadu terlibat dalam kegiatan Ah Long, kongsi gelap dan pengedaran dadah. Dan mangsa kemudian diminta untuk memindahkan wang daripada akaunnya ke dalam akaun tertentu kononnya bagi mengelakkan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.

3) Penipuan sebagai pegawai bank negara atau komersial.

Mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank dengan pendakwaan mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. Pengadu kemudian diarahkan untuk menghubungi seseorang kononnya pegawai dari bank Malaysia bagi mengelakkan nama disenarai hitam. Mangsa akhirnya diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke akaun tertentu melalui e-banking ataupun mesin deposit tunai.

4) Penipuan culik dan wang tebusan.

Mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa anak atau saudaranya diculik . Mangsa diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan oleh pemanggil.

Pihak PDRM dan SPRM dapat mengesan dalang sindiket penipuan ini. Yang pasti kita perlu berhati-hati dalam menerima panggilan daripada individu yang kita tidak kenali terutamanya yang membabitkan pemindahan wang.

Jika anda terima panggilan daripada mereka:

  1. Jangan panik.
  2. Laporkan terus kepada pihak berkuasa.
  3. Tidak perlu melayan panggilan tersebut.

Kredit : APHD Channel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram