Ketahui Cara Pembuatan Batik

Sehelai kain batik mengambil masa dari 1 hingga 3 hari untuk disiapkan bergantung kepada teknik dan jenis batik yang ingin dihasilkan. Kebiasaannya ia akan melalui sebahagian dari proses-proses berikut:

1)      Meregang atau Menegang

Meregang atau menegang adalah antara proses awal dalam pembuatan batik. Kain putih atau kain dasar dipotong mengikut ukuran yang diperlukan. Kain ini kemudiannya diregang dengan menyangkut kedua-dua hujung kain pada susunan paku yang terdapat pada alat pemidang mudah alih atau meja terap.

2)      Menerap

Menerap ialah proses mengecap permukaan blok atau sarung bunga yang telah dicelup ke dalam campuran lilin cair yang panas di atas permukaan kain dasar yang telah dibentang di atas meja penerap. Terapan yang dilakukan mengikut bahagian dan reka corak yang telah ditetapkan. Selepas terapan pertama, kain akan dicelup dengan pewarna. Kebiasaannya, warna muda atau lembut digunakan untuk celupan pertama ini.

3)      Menerap Berulang

Proses menerap berulang atau terapan kedua adalah sama dengan proses terapan pertama cuma terapan kedua dilakukan dengan menggunakan blok dan warna yang berbeza. Warna yang lebih gelap atau lebih tua digunakan supaya mengimbangi warna celupan pertama. Proses ini dilakukan untuk menghasilkan batik blok.

4)      Menyurih

Menyurih ialah proses melakar reka corak dan motif batik di atas permukaan kain. Proses menyurih dilakukan di atas meja surih dengan menggunakan pensel 2B atau pensel warna larut. Proses ini adalah antara proses-proses yang dilakukan untuk menghasilkan batik canting.

5)      Mencanting

Proses mencanting dilakukan dengan menggunakan sejenis alat yang dipanggil canting. Campuran lilin cair dimasukkan ke dalam alat canting dan kemudian dilakar di atas permukaan kain dasar yang diregang di atas pemidang. Lakaran lilin ini dilakukan bagi menghalang bahan pewarna daripada bercampur dan meresap masuk ke kawasan lain. Proses ini juga adalah antara proses-proses yang dilakukan untuk menghasilkan batik canting.

6)      Mewarna

Mewarna memainkan peranan penting dalam proses menghasilkan batik yang cantik dan indah. Pada awalnya, warna-warna semulajadi digunakan secara meluas dalam pembuatan batik. Kemudian pelbagai warna telah digabung seperti campuran warna yang kontra, gelap dan cerah, dan pelbagai teknik warna diaplikasikan untuk mewarna batik. Antara teknik-teknik batik adalah Teknik Alfa, Teknik Semburan Angin (Air Brush), Teknik Menarik, dan lain- lain. Pengeluar dan pereka batik tempatan sentiasa melakukan kajian dan penyelidikan tentang penggunaan warna-warna batik supaya warna tidak mudah luntur dan menampilkan warna-warna menarik serta mengikut perkembangan warna semasa.

7)      Merebus

Merebus merupakan proses terakhir dalam pembuatan batik. Kain akan direbus di dalam larutan air bercampur serbuk soda (soda ash) mengikut sukatan. Tujuan merebus kain adalah untuk menanggalkan liln dan lebihan pewarna pada kain batik. Kemudian kain batik dibasuh menggunakan air bersih dan dijemur ditempat yang teduh dan berangin.

Setiap batik yang dihasilkan akan melalui proses merebus, walau apa pun teknik dan jenis kain yang digunakan untuk menghasilkan batik tersebut.

Kredit: http://batikblock.com

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram