Kebersihan Diri: Cara Beristinjak Dengan Betul

Agama Islam adalah agama yang menyeluruh merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah soal menjaga kebersihan. Menjaga kebersihan adalah sesuatu yang disukai Allah Taala sama ada menjaga kebersihan rohani mahupun jasmani. Perkara ini tidak boleh dipisahkan kerana kebersihan melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah Taala.

Firman Allah Taala surah Al-Baqarah ayat 222 mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Kali ini, kami ingin menerangkan cara-cara beristinjak dengan betul. Ada kalanya mungkin ada bahagian yang kita terlepas pandang. Jika terlepas pandang, kemungkinan solat yang kita dirikan tidak sah disebabkan ada serpihan najis yang masih melekat pada diri kita.

Apa itu istinjak?

Istinjak merupakan penyucian seseorang daripada najis berikutan membuang air besar ataupun air kecil dengan cara menyucikan pada tempat terbitnya najis tersebut menggunakan air ataupun lain-lain benda yang dibolehkan. Yang diistinjak adalah sesuatu yang keluar daripada 2 jalan perlepasan – qubul dan dubur.

Hukum istinjak adalah wajib apabila seseorang itu membuang air besar atau kecil.

Alat-alat yang membolehkan untuk beristinjak:
1) Air mutlak
2) Alat-alat yang kesat, keras dan kering seperti batu, kayu, daun kering, kertas, dan sebagainya yang suci daripada najis.

alat-alat yang dilarang untuk beristinjak:
1) Bahan-bahan makanan seperti roti, biskut.
2) Tulang-tulang binatang
3) Kertas yang tertulis nama Allah S.W.T., ayat­-ayat Al-Quran dan Al-Hadis.

Cara-cara beristinjak

Istinjak boleh dilakukan dengan 3 cara

a) Gunakan air mutlak: Bersihkan di bahagian tempat keluarnya najis, pastikan bersih dari segi bau, rasa dan warna.

b) Menggunakan benda-benda yang kesat atau batu: Hendaklah dicalitkan tempat keluar najis sebanyak tiga kali. Jika menggunakan satu batu, hendak disapukan pada tiga penjuru batu  tersebut. Bersihkan sehingga betul-betul suci.

c) Gunakan air dan batu: Menyapu tempat keluar najis dengan batu sehingga hilang najis tersebut, kemudian bersihkan menggunakan air mutlak sehingga hilang bau, warna dan rasa.

Setelah anda beristinjak, sunat membaca doa kepada Allah agar tergolong dalam golongan yang bersih dan beramal soleh.

Beristinjak dengan benda-benda kesat mempunyai beberapa syarat, iaitu:

  1. Alat tersebut hendaklah kering dan bersih
  2. Alat tersebut bukan daripada benda yang diharamkan seperti makanan atau yang seumpama dengannya.
  3. Najis yang perlu dihilangkan tidak kering.
  4. Najis tersebut tidak beralih daripada tempat asalnya.
  5. Perlu disapu sebanyak tiga kali, tetapi sekiranya belum bersih hendaklah diulang lagi sehingga bersih.
  6. Tiada benda yang melekat di tempat keluar najis.

Kita lihat, walaupun disisi kita ketiadaan air, tetap kita kena menjaga kebersihan kerana Allah suka hambaNya yang pembersih. Jadi, apakah hikmah apabila kita melakukan istinjak

  1. Dapat menjauhkan diri daripada kuman yang membawa penyakit dibahagian tempat keluarnya najis
  2. Dapat mengekalkan kesihatan badan dan kebersihan diri.
  3. Dapat mengerjakan ibadat kepada Allah S.W.T., dengan khusyuk.
  4. Dapat mengelakkan diri daripada dipandang hina oleh orang lain akibat tidak menjaga kebersihan.
  5. Dapat menjauhi anggota badan dijangkiti pelbagai penyakit yang merbahaya.

Kredit: akuislam.com

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram