Cara mengatasi sifat sombong & angkuh. 5 nasihat daripada imam al-Ghazali

Sebagai seorang mukmin, kita harus menjauhi sifat sombong dan angkuh kerana ia adalah penyakit hati yang susah diubati. Sombong & angkuh ini bermaksud rasa bangga diri dengan kelebihan dan kesempurnaan yang ada serta memandang rendah tentang kekurangan orang lain. Orang yang sombong ini selalunya akan menonjolkan diri untuk menunjukkan dirinya lebih hebat dan susah menerima pandangan dan nasihat orang lain.

Sifat angkuh dan sombong perlu kita hindari supaya diri kita disayangi oleh Allah SWT

Sifat sombong dan angkuh ini mengingatkan kita kisah iblis. Iblis itu hebat, namun dengan kesombongan dan keangkuhannya yang merasa dirinya lebih baik daripada nabi Adam AS, akhirnya diusir dari Syurga-Nya. Allah SWT berfirman:

Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.” (QS al-A’raf: 13).

Berdasarkan kitab Bidayatul Hidayah, terdapat 5 nasihat Imam al-Ghazali untuk mengatasi sifat sombong dan angkuh.

  1. Jika kita melihat orang yang lebih muda daripada kita anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana mereka belum banyak melakukan dosa.
  2. Jika kita lihat orang lebih tua daripada kita, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana mereka sudah lama beribadah kepada Allah.
  3. Jika kita melihat orang yang alim, anggaplah mereka lagi mulia daripada kita kerana mereka telah mengetahui dan mempelajari ilmu yang banyak daripada kita.
  4. Jika kita lihat orang yang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dengan kejahilannya namun kita membuat dosa dengan mengetahuinya.
  5. Jika kita lihat orang kafir, jangan menganggap kita lebih mulia daripada mereka kerana kita belum tahu lagi, boleh jadi mereka masuk islam lalu mereka mengakhiri hidupnya dengan khusnul khotimah.

Melalui nasihat – nasihat ini, kita boleh tanamkan dalam minda kita supaya kita sentiasa merendah diri, menghormati orang lain dan sentiasa berfikiran positif. Insya-Allah, kehidupan kita bertambah berkat dan disayangi oleh Allah SWT.

Kredit: Kitab Bidayatul Hidayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram