4 Kisah Utama Dalam Surah Al-Kahfi & Kaitannya Dengan Fitnah Dajjal

Hari Jumaat sangat sinonim dengan surah al-Kahfi. Tahukah anda apa keistimewaan surah al-Kahfi ni?

Orang yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, bawah kakinya akan bercahaya sehingga ke kolong langit. (Mafhum hadith)

Orang yang membaca/mengamalkan surah al-Kahfi juga akan terhindar dari fitnah Dajjal. (Mafhum hadith)

Persoalannya, apa yang hebat sangat dengan surah al-Kahfi ni hingga boleh lindungi kita dari Dajjal? Takkan baca saja dah boleh terhindar?

ADA 4 KISAH UTAMA DALAM SURAH AL-KAHFI

1. Kisah Pemuda Kahfi (Ayat 9-26)
– Diuji dengan aqidah/iman

2. Kisah pemilik dua kebun (Ayat 32-44)
– Diuji dengan harta kekayaan

3. Kisah Nabi Musa & Nabi Khidir (Ayat 60-82)
– Diuji dengan ilmu

4. Kisah Zulqarnain (Ayat 83-101)
– Diuji dengan kekuasaan

Setiap satu kisah tersebut mewakili satu fitnah (ujian) yang dahsyat.

Empat fitnah itu juga yang Dajjal akan bawa di akhir zaman nanti.

Di sinilah relevannya membaca surah al-Kahfi boleh menghindarkan diri dari fitnah Dajjal. Sebab surah ini bukan hanya bercerita, tapi memberi solusinya juga!

Bagaimana?

Fitnah Aqidah – Bersahabat dengan orang soleh. Para pemuda al-Kahfi saling membimbing satu sama lain. Mereka juga banyak mengingat akhirat.

Fitnah Harta – Mengingatkan diri bahawa dunia tidak kekal dan banyak mengingati mati/akhirat.

Fitnah Ilmu – Kena tawadhu’/rendah diri. Walaupun Nabi Musa AS seorang rasul yang mulia, baginda tidak sombong untuk menuntut ilmu dari Nabi Khidir.

Fitnah Kekuasaan – Kena tawadhu’ dan ikhlaskan diri, sebagaimana Zulqarnain seringkali mengingatkan dirinya bahawa kekuasaannya ialah dari Allah.

Di sebalik 4 kisah dan pengajaran ini, surah al-Kahfi mengandungi tema utama yang lebih dahsyat lagi.

Tema utama surah ini ialah DAKWAH!

Bagaimana?

Bukankah para pemuda al-Kahfi berdakwah kepada sang penguasa yang zalim?

Bukankah si sahabat pemilik kebun menasihatinya agar bersyukur dan kembali kepada Allah? Bukankah itu dakwah?

Bukankah Nabi Khidir membimbing Nabi Musa, seorang murabbi mengajar anak muridnya selayaknya? Bukankah itu juga dakwah?

Dan bukankah Zulqarnain berdakwah kepada rakyat jelatanya, sepanjang pengembaraannya?

Rupa-rupanya untuk selamat dari fitnah Dajjal, kita perlu berdakwah.

Dengan berdakwahlah, kita dapat menjaga diri kita dan orang ramai dari fitnah-fitnah ini.

Tadi ada disebutkan di akhir zaman, Dajjal akan datang dengan 4 fitnah iaitu fitnah aqidah, harta, ilmu dan kuasa kan?

Macam mana tu?

Nanti Dajjal keluar, dia akan mengaku dia Tuhan. Dia tunjuk syurga neraka, hidupkan orang mati dan sebagainya. Itu fitnah iman.

Dia akan keluarkan semua khazanah muka bumi, untuk tarik manusia jadi pengikut dia. Itu fitnah harta.

Dia akan tunjuk benda-benda yang manusia tak pernah tahu. Dia akan buat benda yang selama ini manusia ingat mustahil. Itu fitnah ilmu.

Dan dia akan jadi makhluk yang paling berkuasa dan bermaharajalela di muka bumi (sebelum Nabi Isa turun membunuhnya). Itu fitnah kuasa.

Jadi, dah nampak tak macam mana surah al-Kahfi boleh jaga dan lindungi kita dari fitnah Dajjal?

Jadi selepas ini, bila baca al-Kahfi, janganlah sekadar baca macam tu saja. Baca, cuba faham maksud dan paling penting, cuba untuk amalkan!

Sebab semua fitnah Dajjal tu dah ada pun zaman sekarang ni. Cuma bukan dalam skala dahsyat macam fitnah Dajjal.

Kalaulah baca dan amalkan al-Kahfi boleh lindungi kita dari bapak segala fitnah (Dajjal), dah tentu ia boleh lindungi kita dari fitnah-fitnah lain.

Maka marilah kita istiqamah dan beriltizam membaca surah al-Kahfi setiap hari Jumaat, dan membaca al-Quran setiap hari. Moga ada barakahnya!

Sumber: Perkongsian ialah dari kuliah Ustaz Nouman Ali Khan dan buku Khowatir Qur’aniyah tulisan Syaikh Amr Khalid.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram